Tanggungan penyewa saat kritis ~ Tiada Akta Sewa Rumah Kediaman Untuk Mendapatkan Pengecualian Sewa - DETIK INFO

Breaking


Sunday, 5 April 2020

Tanggungan penyewa saat kritis ~ Tiada Akta Sewa Rumah Kediaman Untuk Mendapatkan Pengecualian Sewa



PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk membasmi penularan pandemik Covid-19 menyebabkan beberapa sektor terkesan.
Baru-baru ini tular di media sosial seorang pemilik rumah mengecualikan bayaran sewa rumah kepada penyewanya pada bulan April untuk meringankan beban penyewanya.
Penulis sempat menemu bual seorang pemilik sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang mengakui perniagaan terjejas selepas tidak dapat beroperasi sejak PKP dilaksanakan.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata, setiap bulan dia memperuntukkan RM1,200 untuk membayar sewa dua premis kepada pemilik berbeza.
“Saya serba salah untuk mengambil bayaran bulanan daripada ibu bapa kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa. Bagaimanapun pada masa sama saya perlu membayar sewa premis dan dua kakitangan,” katanya.
Menurut Timbalan Presiden K-Literasi, Salkukhairi Abd Sukor, secara umumnya di negara ini belum ada satu akta khusus yang mengawal segala urusan berkaitan sewaan rumah kediaman.
“Segala transaksi sewaan antara tuan rumah dan penyewa adalah ditadbir sepenuhnya oleh kontrak atau perjanjian sewaan antara pihak-pihak itu.
“Apa sahaja terma dan syarat yang dinyatakan dalam kontrak atau perjanjian sewaan itu akan mengikat kedua-dua pihak sehinggalah kontrak atau perjanjian itu ditamatkan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau yang juga seorang peguam hartanah berkata, dalam keadaan PKP ini, kedua-dua pihak masih lagi terikat untuk mematuhi terma-terma berkaitan pembayaran sewaan yang dinyatakan dalam perjanjian sewaan itu.
“Melainkan adanya suatu klausa pengecualian yang mengecualikan penyewa daripada menjelaskan bayaran sewaan seperti adanya klausa berkaitan
force majure seperti bencana alam, penularan wabak berjangkit atau adanya klausa khas yang menyatakan disebabkan wujudnya apa-apa perintah atau undang-undang baru yang digubal oleh kerajaan yang membolehkan bayaran sewaan dikecualikan atau apa-apa klausa lain yang seumpamanya,” katanya.
Mengulas lanjut dalam keadaan perjanjian sewaan silent berkenaan, jika penyewa ingin menangguhkan atau mengecualikan bayaran sewaan bulanan untuk tempoh tertentu, dia dan tuan rumah hendaklah berbincang
“Sekiranya tuan rumah bersetuju dengan cadangan penyewa itu, barulah ia boleh dilaksanakan.
“Digalakkan supaya kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyewa itu, satu perjanjian tambahan dimasukkan oleh kedua-dua pihak untuk merekodkan persetujuan itu supaya tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari,” katanya.
Sementara itu, perkara sama diakui Presiden HartaGuam, Datuk Nazri Mustafa yang berkata, ini adalah satu isu yang sangat fragile atau delicate untuk dibincangkan tetapi adalah satu permasalahan terkini yang perlukan penyelesaian
“Pemilik boleh menggunakan budi bicara sama ada untuk menangguhkan atau mengecualikan bayaran sewa untuk bulan tertentu atau membenarkan tunggakan bayaran sewa di bulan yang terbabit dibuat bayaran tangguhan secara ansuran.
“Bagi kes yang tiada perjanjian sewa bertulis dan menggunakan perjanjian mulut semata-mata, nasib penyewa sama ada diberi pengecualian, juga tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara pemilik,” katanya

No comments:

Post a Comment