SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM127.78 juta, mengandungi tujuh inisiatif bagi mengurangkan beban ekonomi akibat penularan COVID-19.
Dinamakan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin COVID-19, inisiatif itu antara lain memperuntukkan penangguhan bayaran cukai tanah, selain manfaat untuk petugas barisan hadapan memerangi virus berkenaan serta peniaga dan penjaja berlesen.
Amirudin berkata, pembiayaan berkenaan adalah daripada dana Perbendaharaan negeri serta sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anak-anak syarikat kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri memandang serius penularan COVID-19 yang kini sudah dikategorikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memaksa Kerajaan Malaysia melaksanakan langkah drastik, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak terbabit.
“Perintah itu semestinya memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia umumnya dan rakyat negeri ini khususnya. Justeru, untuk mengurangkan beban kehidupan dan kesulitan ekonomi akibat perintah itu, Kerajaan Selangor akan melaksanakan pakej rangsangan yang dikenali sebagai Pakej Selangor Prihatin,” katanya.
Tujuh inisiatif berkenaan;
1. Menghargai petugas barisan hadapan menangani COVID-19 dengan meluluskan insentif ‘one-off’ RM200 dan bantuan makanan semasa bertugas sehingga 31 Mac ini kepada 6,000 petugas yang dikenal pasti di hospital-hospital seluruh Selangor. Jumlah keseluruhan bantuan adalah RM1.2 juta.
2. Bantuan kepada penjaja, peniaga berlesen menerusi pengecualian sewa bagi 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis untuk meringankan beban hilang punca pendapatan utama dengan nilai keseluruhan bantuan RM12 juta.
Yang turut disediakan adalah RM40 juta sebagai pemberian khas ‘one-off’ RM500 bagi melancarkan aliran tunai masing-masing. Permohonan akan dibuka pada 1 hingga 30 April depan sebelum bantuan disalurkan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan.
3. Meringankan beban usahawan Skim HIJRAH Selangor, iaitu skim pinjaman mikrokredit dengan penangguhan serta-merta bayaran balik pinjaman bagi tiga bulan ansuran kepada semua 40,000 peminjam. Beban kewangan akan ditanggung oleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM70 juta.
4. Memudahcara urus diri mahasiswa dari Selangor di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak dibenarkan pulang ke kampung. Mahasiswa-mahasiswa Selangor yang terpaksa kekal di IPT di Sabah dan Sarawak akan menerima bantuan sara diri ‘one-off’ RM200 yang membabitkan keseluruhan 2,500 pelajar.
Bagi pelajar-pelajar Selangor di tempat lain yang terpaksa kekal di kampus masing-masing, khususnya di Universiti Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej INPENS, akan diberi makanan percuma bermula 22 Mac hingga 31 Mac. Nilai keseluruhan bantuan berkenaan RM2.3 juta.
5. Meringankan beban peserta Skim Smart Sewa. Kerajaan negeri meluluskan penangguhan bayaran sewa sebanyak tiga bulan ansuran untuk 2,700 penyewa dengan kos RM600,000.
6. Penggunaan khas peruntukan 56 Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor. Kelonggaran akan diberikan kepada setiap ADUN dengan anggaran kira-kira RM30,000 sebagai perbelanjaan aktiviti Mesra Rakyat, khususnya untuk keperluan harian individu dan keluarga yang terkesan. Peruntukan mininum untuk inisiatif ini RM1.68 Juta.
7. Lanjutan tempoh akhir bayaran cukai tanah/petak dari 31 Mei kepada 30 Jun depan. Kelonggaran turut diberikan kepada semua pembayar cukai untuk melewatkan pembayaran cukai tanah/petak selama satu bulan tanpa sebarang bebanan kos kepada pihak kerajaan negeri.
No comments:
Post a Comment